CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, May 1, 2009

KULIAH 1: KAJIAN TINDAKAN - SATU PENGERTIAN

PENGERTIAN KAJIAN TINDAKAN
Elliot & Adelman (1976)

Kajian tindakan sebagai penyelidikan yang beusaha mempertingkatkan mutu profesionalisme guru, merupakan penyelidikan terhadap situasi sosial di sekolah bertujuan memperbaiki amalan guru.

Elliot (1981)

Kajian tindakan adalah rangka bagi menilai kendiri di sekolah yang mana ia mementingkan amalan refleksi dan inkuiri. Konsep ini dapat diperluaskan kepada menambahbaik amalan kendiri dalam sebarang situasi sosial.

Carr & Kemmis (1986)

Kajian tindakan ialah suatu bentuk refleksi kendiri melalui aktiviti inkuiri bagi memperbaiki dan memahami amalan serta situasi sosial. Bagi mereka kajian tindakan adalah rasional dalam menjustifikasi amalan-amalan sosial dan pendidikan.

McNiff (1988)

Kajian tindakan sebagai suatu pendekatan bagi memperbaiki atau meningkatkan pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis pada amalan-amalan itu dan bersedia mengubah amalan-amalan. Beliau juga menekankan aspek pelaksanaan inkuiri guru sendiri serta melibatkan guru-guru lain secara kolaboratif sewaktu menjalankan kajian.

  • Kajian Tindakan adalah kajian berbentuk kualitatif.
  • Kajian kualitatif menggunakan data dalam bentuk fakta asal seperti dilihat, didengar atau dibaca.
  • Data berbentuk statistik (nombor) juga digunakan tetapi tidak menjadi cacat sesuatu Kajian Tindakan yang tidak menggunakan data berbentuk itu.
  • Peraturan yang perlu dipatuhi apabila menjalankan Kajian Tindakan ialah keempat-empat langkah asas iaitu merancang, bertindak, memerhati dan mereflek yang dilakukan secara berurutan dalam bentuk gelungan.

Dalam K.ajian Tindakan, guru sebagai penyelidik mengkaji amalan bekerjanya sendiri serta kaitannya dengan keberkesanan pembelajaran di kalangan murid-murid yang diajarnya. Amalan bekerja iaitu amalan mengajar termasuklah cara guru berinteraksi dengan murid, latihan-latihan yang disediakan, gaya penyampaian, soalan-soalan yang digunakan dan sebagainya. Guru menjalankan kajian atas kesedaran bahawa terdapat masalah yang mengganggu proses pembelajaran di kalangan murid-murid yang diajarnya dan masalah itu perlu ditanganinya sendiri.


Apabila seseorang guru mengamalkan Kajian Tindakan beliau perlu melakukan pengubahsuaian amalan P&P secara berterusan sehingga berlaku peningkatan dalam pencapaian murid pada tahap yang jauh lebih baik berbanding dengan keadaan sebelum kajian dijalankan. Sekiranya pencapaian murid meningkat setelah melakukan aktiviti P&P yang telah dirancang untuk menangani masalah yang wujud, bolehlah dirumuskan bahawa amalan pengajaran guru berkesan. Keberkesanan pengajaran guru meningkatkan kewibawaannya sebagai pendidik dan dengan itu tahap profesionalisme guru itujuga turut meningkat.


Kajian Tindakan memperlihatkan pengembangan guru sebagai sesuatu yang mengarah dari bawah ke atas (bottom-up) dan bukan dari atas ke bawah (top-down). Model penjana pengetahuan (knowledge-generating model) mengandaikan bahawa kemajuan dalam latihan pendidikan perlulah berasaskan pada pandangan dan pengalaman guru sendiri. Model ini menekankan peranan guru sendiri sebagai model utama kajian tanpa menerima tekanan atau arahan dari pihak atasan. Dapatan dari kajian diterima sebagai sebahagian daripada percambahan idea dalam bidang yang dikaji.

KEPENTINGAN KAJIAN TINDAKAN
PENGEMBANGAN PROFESIONALISME GURU
Kajian tindakan berupaya mengembangkan kemampuan guru sebagai peneroka pengetahuan yang profesional. Guru sebagai seorang yang profesional tidaklah semata-mata mengamalkan pengetahuan yang dikemukakan oleh orang lain tetapi berupaya merintis jalan bagi menangani pelbagai masalah P&P.
MENINGKATKAN KEBERKESANAN AMALAN MENGAJAR

Peningkatan keberkesanan amalan mengajar seseorang guru boleh dilihat melalui peningkatan prestasi pihak yang menerima perkhidmatan guru tersebut iaitu murid-murid. Melalui pemerhatian terhadap aktiviti-aktiviti P&P yang dijalankan di bilik darjah, guru mengumpul data secara terancang untuk mengesan kelemahan dan kekuatan aktiviti yang dilaksanakan. Data yang telah dianalisis memberi gambaran yang jelas kepada guru tentang faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan proses P&P. Berpandukan kepada analisis data guru mengubahsuai amalan mengajar yang lalu supaya menjadi lebih berkesan. Proses mengutip data dan mengubahsuai amalan berlaku berulangkali sehinggalah berlaku peningkatan dalam prestasi murid.
PERKONGSIAN MAKLUMAT DAN USAHA BERPASUKAN
Perkongsian dapatan kajian penting kerana melalui ini, guru-guru lain boleh menggunakan dapatan kajian sebagai rujukan bagi melaksanakan kajian atau amalan mereka sendiri apabila didapati membawa kepada sesuatu yang positif dari segi kuantiti @ kualiti.
MENJALANKAN PENYELIDIKAN PENGAJARAN DENGAN SISTEMATIK
Kajian dijalankan semasa guru mengajar dengan menggabungjalinkan ciri-ciri penyelidikan seperti mengumpul data tentang pengajaran dan selepas itu menganalisis data tersebut.
TUJUAN KAJIAN
Pelaksanaan Kajian Tindakan di bilik darjah bertujuan khusus untuk meningkatkan keberkesanan amalan mengajar guru dan meningkatkan pencapaian murid. Secara logik, seorang murid dianggap berjaya menguasai kemahiran-kemahiran pembelajaran yang terdapat dalam sukatan pelajaran apabila berjaya mendapat markah tinggi dalam sebarang penilaian bagi mata pelajaran tersebut. Dalam konteks pencapaian akademik, murid tersebut juga dianggap cemerlang dalam mata pelajaran itu.

Sesuatu Kajian Tindakan yang bertujuan untuk mengatasi pelbagai masalah pembelajaran atau membantu murid menguasai pelbagai kemahiran pembelajaran yang ditetapkan untuk satu-satu mata pelajaran adalah lebih menepati matlamat untuk membantu murid mencapai tahap cemerlang dalam satu-satu mata pelajaran. Contohnya:
  • Membantu murid belajar dengan berkesan melalui pengajaran yang berkesan.
  • Membantu murid merancang cara belajar di bilik darjah dengan berkesan melalui bimbingan guru yang berkesan.

Contoh di atas boleh dijadikan tujuan kajian tindakan untuk dilaksanakan oleh seorang guru dalam satu kelas, atau untuk semua guru dalam satu sekolah bagi satu atau semua mata pelajaran atau pelbagai mata pelajaran. Kajian itu boleh dilaksanakan dalam tempoh setahun atau untuk beberapa tahun.


Pelaksanaan Kajian Tindakan untuk satu atau beberapa tahun sesi persekolahan pastilah mengandungi beberapa pusingan atau kitaran mengikut masalah-masalah yang hendak ditangani. Tiap-tiap kitaran kajian mengandungi tujuan khusus berkaitan dengan satu-satu masalah atau kemahiran yang cuba ditangani.Contohnya:

  • Meningkatkan penguasaan kemahiran membaca Al-Quran.
  • Meningkatkan kefahaman murid tentang hukum-hukum tajwid.

Selain daripada bertujuan untuk menangani masalah pembelajaran khususnya yang berkaitan dengan pencapaian rendah di kalangan murid, Kajian Tindakan juga boleh dijadikan strategi untuk memperbaiki lagi pencapaian murid yang berada pada tahap baik ke tahap cemerlang.

JENIS-JENIS KAJIAN TINDAKAN
  1. Individu: memfokuskan isu-isu berbangkit di dalam bilik darjah.
  2. Kolaboratif: melibatkan 2 orang atau lebih guru dalam menyelesaikan masalah samada dari bidang yang sama atau tidak atau melibatkan beberapa buah kelas tetapi hanya guru dan kelas di dalam sekolah tersebut sahaja.
  3. Sekolah: melibatkan satu isu diperingkat sekolah (luar bilik darjah) dengan penglibatan kakitangan di sekolah.
  4. Daerah: kajian yang lebih luas melibatkan ramai guru dan pihak atasan serta melibatkan perbelanjaan yang besar.

0 comments: